PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berusaha memastikan bantuan kepada mangsa banjir tiba dengan segera selain melaksanakan kerja-kerja pemulihan secara pantas di kawasan terjejas.
Anwar berkata, langkah kesiapsiagaan telah dirangka lebih awal untuk mengurangkan impak buruk daripada musibah ini, yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.
Katanya, semua agensi kerajaan di peringkat pusat, negeri dan tempatan dikerahkan untuk bekerjasama bagi memastikan bantuan sampai dengan segera selain kerja pemulihan dilaksanakan
“Keadaan ekonomi semasa kita harus tangani dengan bijak kerana ia juga melibatkan apa yang belum diduga, yang berlaku separah ini, iaitu musibah banjir yang berlaku mutakhir ini.” katanya pada amanat tahun baharu 2025 malam ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perbelanjaan pembangunan negara akan terus memberi keutamaan kepada projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi.
Anwar berkata, langkah ini penting untuk mengurangkan risiko banjir pada masa depan, meskipun melibatkan kos perbelanjaan yang besar.
“Selain daripada memberikan tumpuan kepada prasarana asas seperti jalanraya, lebuhraya dan bekalan, adalah dengan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi walaupun akan memberikan kesan dan dampak perbelanjaan yang tinggi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE