PETALING JAYA – “Kalau kamu buat ‘face verification’ (pengesahan wajah) dekat mana-mana aplikasi, walaupun arahannya cuma suruh letak muka dekat frame (bingkai), sebenarnya ia tetap ambil gambar selfie (swafoto) menyeluruh termasuk kepala dan badan”.
Itu penjelasan seorang lelaki berkenaan arahan di sesebuah aplikasi yang memerlukan individu atau pemiliknya mengambil gambar swafoto sebagai pengesahan.
Jelasnya yang dikenali sebagai Nordin, ia sebenarnya akan disahkan oleh manusia, bukan robot dan disebabkan itu perlunya orang ramai berkongsi gambar yang ‘sempurna’.
“Maksudnya ada orang lain yang tengok gambar swafoto kamu untuk tujuan pengesahan (mereka kerja periksa gambar sama ada sepadan atau tidak dengan MyKad).
“Jadi tolong la pakai baju, jangan sekadar bersinglet atau langsung tiada benang di badan, terutamanya para wanita. Yang muslimah pun jangan lupa bertudung,” pesannya di Facebook.
Katanya, ramai yang membuat pengesahan wajah tanpa ‘bersiap’ kerana beranggapan proses meluluskan gambar berkenaan dilakukan oleh robot.
“Jadi (sebab tu) dia ambil gambar laju-laju, dalam keadaan santai di rumah sambil fikir tiada siapa yang akan nampak badan dia,” ujarnya.
Perkongsiannya itu turut disahkan oleh Leena Shaari di ruangan komen, yang mengakui dirinya salah seorang pekerja di sebuah bank dan terlibat dalam proses pengesahan wajah.
Katanya, dia akan menolak gambar pengguna yang dirasakan tidak sesuai memandangkan ia akan disimpan selama-lamanya dalam talian.
“Saya kerja bank dan ya, benda ni betul. Saya buat pengesahan muka. Ada perempuan yang muka bangun tidur pakai singlet sahaja buat pengesahan.
“Kalau yang teruk sangat saya reject (tolak) walaupun muka nampak macam (dalam) MyKad sebab nanti gambar tu bank simpan sebagai data sampai bila-bila, walaupun tutup akaun. Bank simpan data tu atas talian, selamanya,” terangnya.
Hantaran dan komen berkenaan menimbulkan kegusaran orang ramai terutamanya dalam kalangan mereka yang pernah membuat pengesahan wajah dengan tidak berpakaian lengkap.
“Selama ni hodohnya mukaku. Rupanya orang yang periksa,” keluh seorang pengguna.
“Sistem lah yang kurang cerdik tak bagi peringatan. Kasihan juga orang-orang yang tak berapa nak tahu macam kita ini,” komen Amira Amin.
“Begitu ke? Mana orang tahu kan. Kenapa tak cakap awal-awal, kira berdosa ke tak ni? Sebab tak tahu pun benda ni semua sebegini rupa,” soal Anna Kadir. – KOSMO! ONLINE