KLUANG – Seekor gajah jantan dewasa ditemui mati di tepi jalan di Kampung Ilham di sini malam semalam disyaki akibat termakan makanan beracun.
Mamalia itu ditemui penduduk kira-kira pukul 8 malam tadi itu dalam keadaan terbaring dipercayai sudah mati sejak dua hari lalu.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, ketika mereka menemui dan memeriksa gajah berkenaan, tiada kecederaan atau luka dilanggar untuk dikaitkan dengan punca kematiannya.
“Kami percaya mungkin gajah ini mati disebabkan termakan makanan yang diletakkan racun oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Amin berkata, pihaknya akan menyiasat punca kematian haiwan terbabit. – KOSMO! ONLINE