LONDON – Liverpool terus mengukuhkan cengkaman sebagai peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah West Ham United 5-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium London awal pagi semalam.
Masing-masing satu gol menerusi jaringan Luis Diaz, Cody Gakpo, Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold dan Diogo Jota menjadikan The Reds sebagai pasukan pilihan untuk meraih kejuaraan musim ini.
Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Arne Slot masih belum berpuas hati dengan keputusan itu kerana menganggap skuad kendaliannya memiliki kemampuan untuk mencatat kemenangan dengan jaringan lebih besar.
“Pada saingan musim ini, kami ada beberapa perlawanan yang sepatutnya menang dengan lebih banyak gol. Seperti hari ini (semalam), kami ada kemampuan untuk menjaringkan tiga gol dalam 10 atau 15 minit pertama.
“Walaupun begitu, saya tetap gembira kerana tidak hanya bergantung kepada seseorang pemain untuk menjaringkan gol. Kami berjaya menjaringkan gol menerusi lima pemain berbeza, itu membuktikan kualiti pasukan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menganggap Liverpool bertuah memandangkan West Ham tidak menampilkan aksi terbaik memandangkan mereka sentiasa berdepan aksi sukar setiap kali berdepan West Ham di Stadium London.
“Sebab itu kami perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada kerana bukan mudah apabila bermain di tempat lawan. Saya rasa kami terikat 2-2 ketika bermain di sini pada saingan musim lalu,” ujar Slot. – AGENSI