HYDERABAD, PAKISTAN – Seorang lelaki di Hyderabad, Pakistan menyewa sebuah pesawat ringan untuk menggugurkan wang tunai dari udara pada majlis perkahwinan anak lelakinya, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Berdasarkan video mengenainya yang tular, sebuah pesawat ringan terbang mengelilingi majlis perkahwinan sebelum sejumlah wang digugurkan.
Ia menghujani majlis perkahwinan tersebut yang difahamkan merupakan acara di sebelah pihak pengantin perempuan.
Tidak dinyatakan jumlah keseluruhan wang yang digugurkan tetapi ia dikatakan bernilai berjuta-juta rupee Pakistan.
Hantaran itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Daripada melempar wang dari langit, lebih baik gunakan ia untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan,” kata seorang netizen.
“Lupakan pengantin, jiran pengantin perempuan adalah manusia paling gembira ketika itu,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI