fbpx

Cubaan ‘membunuh karakter’ semakin berleluasa – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekhuatiran dengan cubaan-cubaan pembunuhan karakter atau ‘character assassination’ yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Titah baginda, lazimnya, ‘character assassination’ ini hanya berlaku di musim pilihan raya namun kini didapati digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu.

“Beta ingin menasihatkan rakyat agar bijak menilai dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat prasangka dan percaya dengan fitnah-fitnah yang terhasil daripada cubaan untuk membunuh karakter ini.

“Sekiranya tidak dibendung, Beta bimbang kelakuan seumpamanya boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat,” titahnya dalam perutusan sempena Tahun Baru 2025 di laman Facebook Rasmi Selangor Royal Office, hari ini.

Justeru, Sultan Sharafuddin menyarankan sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati di kalangan rakyat adalah seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mahu rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan paling penting mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.

“Jika masih kerap bertelagah, bukankah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala? Akibatnya, rakyat yang akan menanggung sengsara hanya kerana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak,” titahnya.

Sultan Sharafuddin yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan disegani pada tahun 2025 sekiranya sekalian rakyat menggembleng usaha dan tenaga serta mengukuhkan jati diri selain berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI