PETALING JAYA – Tidak mengapa jika Pas mahu meraih manfaat politik apabila meminta ahlinya turun berhimpun di Istana Kehakiman di Putrajaya pada 6 Januari 2025.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beliau tiada masalah dengan dakwaan Pas mahu mendapat manfaat politik dalam perhimpunan berkenaan.
“Biarlah kalau Pas mahu main politik pun. Pihak yang menyebabkan Titah Adendum berlarutan sampai satu tahun lagi kuat main politik.
“Kalau Pas boleh kumpul sampai 10,000 orang baguslah. Itu tanda Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) ada aura pada ahli Pas. Kalau ada 100 ahli PKR, DAP dan Bersatu datang sudah menggemparkan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mohd. Puad berkata, UMNO juga tidak kisah apabila Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Hassan Karim meminta ahli PKR tidak sertai perhimpunan itu.
“Tahulah UMNO urus sendiri. Dijangka 15,000 ahli UMNO hadir dengan berbaju merah. UMNO sudah merancang lebih awal sebelum Pas keluar surat,” katanya.
Kata beliau, UMNO akan berhimpun secara aman dan mengikut peraturan, malah perbincangan sudah dibuat dengan pihak berkuasa.
“Tidak akan ada pokok bunga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) rosak, tercabut atau kenderaan polis diterbalikkan seperti ketika Bersih berhimpun dulu.
“Ada pihak yang ikhlas dan ada yang mahu mempolitikkan Titah Adendum ikut nafsu masing masing. Pokoknya UMNO tetap bersolidariti dengan Najib,” katanya.
Semalam, Hassan berkata, perhimpunan di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya pada 6 Januari 2025 bakal merugikan negara dan merosakkan semangat rakyat mahu melihat Malaysia yang adil serta tidak rasuah.
Justeru, katanya, tidak perlu ahli PKR menyertai perhimpunan berkenaan kerana parti itu tegas dalam menentang rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa. – KOSMO! ONLINE