KUALA TERENGGANU – Bencana banjir yang melanda Terengganu sejak kelmarin pulih sepenuhnya sebentar tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di Besut sebelum ini telah menutup operasinya pada pukul 10 pagi tadi.
“Kesemua 44 mangsa daripada 12 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya.
“Sebelum ini mereka berada di PPS Masjid Kampung La dan Dewan Terbuka Kampung Belaoh,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Terengganu kembali dilanda banjir gelombang seterusnya berikutan hujan lebat berterusan selama 20 jam bermula malam Sabtu lalu.
Seramai lebih 600 penduduk di Hulu Terengganu dan Besut terjejas dan terpaksa berpindah ke PPS. – KOSMO! ONLINE