PETALING JAYA – Pelakon Sharifah Sakinah tampil mempertahankan dirinya selepas digelar ‘penyondol’ tua oleh penonton drama Curang Tanpa Niat.
Dalam drama yang turut dibintanginya Shukri Yahaya dan Mira Filzah tersebut, Sakinah membawa watak sebagai ‘penyondol’ yang cuba menggoda teman sepejabatnya.
Namun rata-rata penonton drama tersebut kurang gemar dengan karakter Sakinah yang membawakan watak sebagai Astrid.
Rata-rata menyifatkan Sakinah kelihatan terlalu tua untuk beraksi sebagai ‘penyondol’. Mereka mahukan pelakon seperti Sophia Albarakbah yang membawakan watak antagonis itu.
“Korang, aku ni pelakon yang berkarakter. Dalam cerita ni aku ada karakter. Aku bukan penyondol biasa macam Sophia Albarakbah tu.
“Dalam cerita ini umur aku 48 tahun. Sebab tu perlu nampakkan aku tua. Korang faham ke tidak? Aduhai, nak kena jelaskan pula,” katanya dalam sebuah video yang dikongsikan dalam Instagram.
Tambahnya lagi wajahnya merupakan satu bonus dan boleh berubah-ubah mengikut karakter.
“Lepas ni kalau aku berlakon jadi umur 18 tahun, korang tengok la muka aku macam umur 18 tahun,” ujarnya.
Ketika ini drama Curang Tanpa Niat sedang hangat ditayangkan di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam menggantikan drama fenomena, Andai Tiada Dia. KOSMO! ONLINE