PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan akan mengumumkan ‘berita gembira’ sempena kedatangan tahun 2025 ini.
Katanya, ia adalah kesinambungan daripada pengumuman tujuh inisiatif yang dibuat pada tahun 2024.
“Sudah tentu ada (berita baik) dan saya akan umumkan apabila tiba masanya nanti. Sudah pasti Kerajaan Madani komited memastikan kesinambungan ini berterusan.
“Saya dan pasukan telah merancang proses penambahbaikan untuk tahun 2025 dan kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut menaruh harapan tinggi bahawa tahun 2025 ini akan memberikan kemakmuran kepada negara dan seluruh rakyat Malaysia termasuk masyarakat India.
Ramanan berkata, lebih banyak inisiatif akan dilaksanakan khususnya dalam memperkukuhkan ekonomi komuniti India seiring dengan proses pembangunan negara.
“Saya juga diberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menggerakkan dan mengilhamkan lagi program yang dapat memberi manfaat melalui agensi-agensi kerajaan lain juga.
“Ia selaras dengan pimpinan Kerajaan Madani yang komited dalam pegangannya untuk membela nasib semua bangsa di negara ini.
“Beliau turut menyarankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) supaya mengusahakan lebih banyak inisiatif untuk komuniti India,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE