SUBANG JAYA – Lima lelaki tempatan berusia 27 hingga 37 tahun diberkas selepas disyaki mencuri sebuah lori jenis Isuzu Delta tiga tan berwarna merah di tepi jalan USJ 1/25, UEP Subang Jaya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pengadu lelaki tempatan yang merupakan pengarah syarikat ubah suai rumah di sekitar Subang Jaya tampil membuat aduan berhubung insiden itu.
“Pengadu meletakkan lori milik syarikat di tepi jalan pada 28 Disember lalu sebelum mendapati ia hilang disyaki dicuri pada pagi kelmarin.
“Anggaran kerugian dialami lebih kurang RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan maklumat diterima, pihaknya mengesan lori terbabit dan sebuah kereta jenis Hyundai Starex warna hitam di tepi jalan U3/3 (BK), Bandar Pinggiran, Subang, Shah Alam dinaiki suspek pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin.
“Hasil pemeriksaan telah menemui beberapa peralatan pecah rumah di dalam kenderaan Hyundai Starex tersebut.
“Hasil soal siasat awal terhadap suspek membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis Perodua Axia di IOI Mall Puchong yang digunakan oleh suspek untuk kejadian pecah rumah,” ujarnya.
Pihaknya menemui dua unit pemampat penyaman udara dan satu unit tong gas dalam kereta tersebut.
“Hasil semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
“Reman selama empat hari mulai semalam hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu kesalahan mencuri kenderaan,” jelasnya.
Tambahnya, kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan akan dirujuk kepada Yang Arif Timbalan Pendakwa Raya Selangor. – KOSMO! ONLINE.