KOTA BHARU – Seramai 417 mangsa banjir masih berlindung di enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Tanah Merah dekat sini meskipun cuaca semakin baik pada pagi ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, kesemua mangsa itu terdiri daripada 118 keluarga.
Menurutnya, seramai 79 mangsa di Kuala Krai dan 11 mangsa di Pasir Mas yang sebelum ini terjejas bah dibenarkan pulang apabila banjir surut sepenuhnya di dua daerah tersebut pada petang semalam.
Sementara itu, laman web Public Info Banjir melaporkan, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan bahaya iaitu 10.43 meter (m) iaitu melebihi paras 9 m meskipun tiada hujan melanda kawasan Pasir Mas sejak malam kelmarin.
Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berkata, keadaan cuaca semasa di 10 daerah di Kelantan pada pagi ini dilaporkan cerah. – KOSMO! ONLINE