fbpx

3 nahas udara dalam tempoh 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESAWAT Jeju Air terbakar di Korea Selatan kelmarin. - Foto AFP

WASHINGTON – Sebanyak tiga kemalangan udara direkodkan dalam tempoh 24 jam melibatkan penerbangan di Korea Selatan, Kanada dan Norway, lapor portal berita International Bussiness Times kelmarin.

Awal pagi kelmarin di Korea Selatan, pesawat tambang murah Boeing 737-800 milik syarikat penerbangan Jeju Air membawa 181 penumpang dan kru mendarat tanpa gear pendaratan sebelum merempuh dinding konkrit lalu meletup dan terbakar.

Hanya dua kru syarikat penerbangan itu selamat, manakala 179 yang lain terkorban.

Kapal terbang itu berlepas dari Bangkok sebelum mendarat cemas di Lapangan Antarabangsa Muan, wilayah Jeolla Selatan.

Menurut seorang pegawai bomba, serangan burung berkemungkinan menyumbang kepada  nahas itu yang merupakan bencana penerbangan paling buruk pernah berlaku di Korea Selatan.

Di Kanada, sebuah pesawat penumpang DH8  terbakar semasa mendarat selepas gear pendaratannya rosak.

Kejadian berlaku ketika pesawat itu mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Halifax Stanfield kelmarin.

Pesawat boleh membawa sehingga 80 orang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa St.John sebelum mengalami masalah hidraulik.

Ia tiba di lapangan terbang Halifax dan cuba mendarat cemas, mengakibatkan pesawat tergelincir dan enjinnya terbakar.

Selepas mendarat, semua kru dan penumpang dibawa ke sebuah hangar untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan tiada kematian dilaporkan.

Di Norway pula, sebuah pesawat KLM Royal Dutch Airlines yang berlepas dari Amsterdam, Belanda tergelincir di Lapangan Terbang Oslo, Norway selepas melakukan pendaratan cemas.

Pesawat Boeing 737-800 itu selamat mendarat walaupun hilang kawalan sedikit ketika pendaratan, demikian menurut laman web Aviation24.be.

Sementara itu, sebuah pesawat ringan terhempas di luar pantai Ras Al Khaimah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE)  kelmarin dengan mengorbankan juruterbang dan pembantunya.

“Sebuah pesawat ringan dikendalikan oleh Kelab Penerbangan Jazirah terhempas ke dalam laut, meragut nyawa juruterbang dan pembantu juruterbang,” kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Am dalam satu kenyataan.

Siasatan telah dilancarkan untuk mengenal pasti punca nahas.

Susulan nahas itu, seorang netizen bernama Cris6324 bertanya: “Apa masalah dengan pesawat (penumpang) kebelakangan ini?”

Siri nahas itu berlaku selepas 38 daripada 67 orang yang menaiki pesawat Azerbaijan Airlines terbunuh apabila kapal terbang itu terhempas dekat bandar Aktau di  Kazakhstan pada Rabu lalu.

Ia menjadikan sekurang-kurangnya lima nahas pesawat berlaku dalam masa tujuh hari di seluruh dunia.

Siasatan awal menunjukkan pesawat itu ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara Russia.

Dalam satu langkah yang jarang berlaku, Presiden Russia, Vladimir Putin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakan sejawatannya dari Azerbaijan, Ilham Aliyev mengenai tragedi itu. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI