JOHOR BAHRU – Cubaan dua individu disyaki pengedar dadah untuk meloloskan diri tidak berhasil apabila mereka diberkas selepas melarikan diri menaiki Perodua Axia sejauh kira-kira 63 kilometer.
Kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun dan wanita warga Singapura berusia 38 tahun ditahan di kawasan Simpang Renggam, Kluang tengah malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kejadian bermula kira-kira pukul 12 tengah malam apabila sepasukan polis melakukan penugasan Ops Tapis di kawasan Jalan Tampoi, Taman Seri Bahagia di sini terserempak dengan kereta dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan polis mengekori rapat kereta yang dipandu wanita Singapura itu sehingga ke kawasan Jalan Persiaran Alif Harmoni dan memberhentikan kenderaan suspek untuk melakukan pemeriksaan.
“Secara tiba-tiba suspek memecut kereta lalu melanggar dua anggota polis sehingga menyebabkan mereka tercedera pada bahagian tangan.
“Polis telah memberi arahan untuk berhenti namun suspek memecut laju memasuki Lebuhraya Pasir Gudang dan pasukan serbuan mengejar kereta suspek yang memasuki Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar dan Lebuhraya Linkedua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, suspek nekad merempuh palang di Plaza Tol Senai dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur.
Katanya, polis meminta bantuan MPV Kulai dan MPV Kluang digerakkan untuk bantuan dan kenderaan suspek akhirnya berjaya ditahan di kawasan Simpang Renggam, Kluang.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek, polis menemui pelbagai jenis dadah termasuk ganja, syabu, serbuk ekstasi, heroin serta pil Nitrazipam bernilai kira-kira RM54,831.70.
“Ujian saringan urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamin serta suspek lelaki memiliki rekod jenayah berkaitan dadah serta orang diburu polis.
“Kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 5 Januari depan bagi membantu lapan siasatan berkaitan Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.-KOSMO! ONLINE