PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta selama setahun bagi Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025 yang melibatkan beberapa parlimen di negeri itu.
YBR dalam kenyataan berkata, peruntukan tersebut bertujuan menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan di mana Sabah merupakan negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.
Katanya, selain itu, inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di kalangan pelajar-pelajar kurang bernasib baik terutamanya yang berada di kawasan luar bandar.
“Untuk makluman, bantuan ini melibatkan kumpulan individu dari kalangan asnaf dan B40 di kawasan Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat serta dijangkakan seramai lebih 65,000 pelajar akan menerima manfaat daripada inisiatif yang dijalankan ini,” katanya.
Penyerahan replika cek Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025 telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (N11) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick di Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud hari ini.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd. Mukhti Abd Rahman, Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Ewon berterima kasih kepada YBR kerana sentiasa menyokong meningkatkan tahap pendidikan anak-anak Sabah yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan status pembelajaran terbaik.
“Melalui bantuan RM3 juta bagi tahun 2025 ini adalah bagi bantuan pendidikan melalui tuisyen dan seminar kepada calon SPM 2025, bantuan persekolahan, bantuan awal pengajian, bantuan pengangkutan ke sekolah dan program asrama desa”, katanya. – KOSMO! ONLINE