KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membantu menyembunyikan wang milik seorang wanita berjumlah RM170,000.
Tertuduh Jariton Sa’adiah Buhari, 63, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga ibu tunggal empat anak itu, didakwa menolong menyembunyikan atau mengalihkan wang RM170,000 milik seorang wanita berusia 48 tahun yang mana wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh di sebuah restoran di sini, antara 14 Februari 2024 hingga 8 Mac 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga ke selesai.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia yang tidak bekerja merupakan ibu tunggal kepada empat anak.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Mohd Kafli membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Februari tahun depan untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE