KUALA LUMPUR – Kebijaksanaan dalam memilih produk adalah penting selain membawa jenama yang menarik dalam dunia perniagaan.
Berasaskan faktor tersebut, seorang usahawan muda yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, Syahruddin Zainul melangkah berani dengan memfokuskan kepada bisnes jualan tudung kanak-kanak dengan niat murni untuk mengajar golongan ini memakai tudung sejak kecil lagi.
Beliau yang juga Pengasas dan Pengusaha kepada jenama TudungSiComel berkata, perniagaannya bermula dengan menjual tudung kanak-kanak dengan pelbagai koleksi pada tahun 2013 dengan menyewa lot kedai kecil di hentian bas, Damansara Damai.
Ujarnya, selain daripada memenuhi tuntutan Islam, usaha beliau menceburi bisnes tudung kanak-kanak ini adalah kerana tidak ramai usahawan yang mengeluarkan produk tersebut ketika itu.
“Pada mulanya, kami menjual tudung, jubah dan telekung kanak-kanak serta tudung ibu dan anak bagi membudayakan pemakaian tudung seawal usia.
“Pada masa itu juga tidak ramai usahawan yang mengeluarkan produk ini. Jadi saya melihat peluang yang baik untuk saya teroka dengan lebih serius lagi mengeluarkan pelbagai produk kanak-kanak di bawah jenama TudungSiComel sekali gus terus mencatat permintaan yang tinggi pada waktu itu.
“Kemudian pada tahun 2016, saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada penghasilan tudung sekolah di bawah jenama yang sama,” katanya kepada Kosmo! di sini, baru-baru ini.
Syahruddin berkata, walaupun beliau telah menukar produk di bawah jenama tersebut, namun dirinya masih kekal dengan prinsip untuk mengajar anak kecil menutup aurat dengan sempurna.
Beliau ingin memastikan pelajar terutamanya pelajar sekolah rendah untuk memakai tudung yang kemas dan selesa agar dapat menumpukan perhatian di dalam bilik darjah.
Tambah beliau, tujuan menjenamakan semula produknya dengan mempromosikan produk tudung sekolah itu dengan lebih serius adalah untuk memudahkan orang ramai mengenali jenama dan identiti TudungSiComel.
Lebih menarik, beliau berkata, jenamanya mempunyai 25 jenis tudung sekolah yang pelbagai warna dan ukuran mengikut permintaan semasa dengan menggunakan material yang berkualiti seperti Lycra daripada Korea.
“Sehingga kini, kami mempunyai 25 jenis tudung sekolah seperti tudung putih untuk harian biasa, tudung untuk pengawas dan juga untuk unit uniform sekolah seperti Pengakap, Putri Islam dan juga Kadet Remaja Sekolah (KRS).
“Selain itu, kami juga mengeluarkan baju sekolah dengan reka bentuk yang unik yang mana kami menjahit baju dengan rekaan poket yang berzip supaya wang saku kanak-kanak tidak mudah terjatuh dan hilang.
“Kami turut memberi jaminan selama 120 hari untuk sebarang kerosakan atau perasaan tidak puas hati terhadap kualiti produk bagi mereka yang membeli produk TudungSiComel dan inilah yang membezakan antara jenama kami dengan jenama lain dalam pasaran,” jelasnya.
Selain itu, usahawan berkenaan memiliki niat murni untuk membantu golongan suri rumah membina bisnes dan memperoleh pendapatan sendiri melalui jenamanya.
Katanya, sehingga kini seramai 1,500 ejen yang telah berdaftar dengan syarikatnya yang hanya bermodalkan RM50 untuk seumur hidup dan menjual produk TudungSiComel ini melalui pelbagai platform seperti Shopee dan Tiktok.
“Daripada 1,500 yang berdaftar ini, seramai 1,200 ejen yang masih kekal aktif dan kebanyakan terdiri daripada golongan suri rumah yang tidak pendapatan tetap.
“Menariknya, kami turut menyediakan kelas latihan bagi membantu ejen-ejen kami memahami cara-cara berniaga terutamanya melalui platform online.
“Kami juga menyasarkan 1,000 lagi ejen yang akan berdaftar dengan jenama ini pada tahun 2025,” ujar beliau.
Tambah Syahruddin, selain daripada mengejar keuntungan syarikat, dirinya juga ingin melahirkan ejen-ejen yang berjaya dan dapat membantu keluarga mereka dengan mempunyai pendapatan sendiri.
Jelasnya, permintaan terhadap produknya kini diperoleh daripada seluruh negara dan juga beberapa permintaan daripada luar negara seperti Filipina dan Australia yang mempunyai sekolah agama.
Namun begitu, ujar beliau, fokus mereka kini adalah lebih kepada pasaran tempatan untuk mengukuhkan jenamanya dan memenuhi permintaan rakyat Malaysia terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada negara luar.
Beliau juga berharap agar suatu hari nanti, jenamanya akan menjadi terkenal di seluruh Malaysia sebagai hab pengeluaran utama bagi tudung sekolah tempatan. -KOSMO! ONLINE