RANTAU PANJANG – Beberapa kampung yang terletak di kawasan rendah di Rantau Panjang di sini dinaiki air susulan limpahan air Sungai Golok hari ini.
Kampung yang dinaiki air ialah Lubok Stol dan Kampung Rahmat Kuala Kwong meskipun hujan tidak melanda kawasan tersebut sepanjang hari ini.
Keadaan limpahan air Sungai Golok itu menyebabkan 11 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial di sini.
Seorang penduduk Kampung Lubok Stol, Sailawati Ali, 50, berkata, air Sungai Golok melimpah di pekarangan rumahnya sedalam 0.5 meter sejak petang semalam.
“Air naik dengan perlahan hari ini kerana hujan lebat tidak turun. Ini kali kedua banjir berlaku di kampung ini selepas hampir tiga minggu banjir gelombang pertama surut,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Lubok Stol di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk di Kampung Rshmat, Nor Azizon Hasan, 52, berkata, air mula naik pagi tadi menyebabkan pekarangan rumahnya sekali lagi terjejas banjir.
“Banjir sebelum ini baru sahaja pulih, kini air Sungai Golok kembali melimpah. Saya harap ia tidak seburuk banjir lalu kerana sudah penat untuk mengemas dan menanggung kerugian,”katanya. – KOSMO! ONLINE