JAKARTA -Seorang lelaki di Sukabumi, wilayah Jawa Barat tergamak menyimbah asid kepada isteri, dua anak tiri dan cucunya kerana berasa cemburu terhadap mangsa, lapor laman berita Tribunnews.
Gagan, 59, bertindak demikian terhadap isterinya, Dedeh Kurniasih serta tiga ahli keluarganya yang lain.
Kejadian berlaku semalam ketika suspek pulang dari kerja.
Mangsa yang ketika itu menyidai baju terkejut apabila dia disimbah dengn asid secara tiba-tiba.
Dua anak tiri suspek yang berusia 18 dan 11 tahun, serta cucunya yang berumur empat tahun turut menjadi mangsa ketika cuba membantu mangsa.
Ketua Polis Nagrak, Inspektor Asep Suhriat berkata, motif serangan berpunca daripada perasaan cemburu suspek terhadap isterinya yang disyaki menghantar mesej kepada lelaki lain.
“Hasil siasatan awal menunjukkan bahawa motif pelaku adalah cemburu terhadap mangsa yang merupakan isterinya,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan. – AGENSI