PETALING JAYA – Seorang wanita yang masih dalam tempoh berpantang selepas sebulan melahirkan anak bongsunya mendakwa bayi tersebut telah ‘disorok’ oleh individu tidak dikenali.
Dia yang dikenali sebagai Wardah memuat naik hantaran di Facebook meminta orang ramai untuk berkongsi perkara tersebut agar pihak terlibat dapat memulangkan semula anak perempuanya itu.
Kata Wardah, pada awalnya dia menyerahkan anaknya kepada bapa kandung bayi tersebut, namun wanita terbabit mendakwa lelaki itu telah memberi pada orang lain.
“Bayi saya, Karmila yang berusia sebulan yang saya bermati-matian nak melahirkan hilang atau disorokkan. Kali terakhir saya tinggalkan bersama bapa kandungnya pada Khamis lalu.
“Tapi malangnya bayi itu diserahkan kepada seseorang yang saya sendiri tak tahu siapa,” katanya.
Menurut Wardah, dia sudah berkali-kali meminta anaknya dikembalikan namun lelaki terbabit meletakkan syarat sebelum bayi tersebut diserahkan kembali.
“Untuk pengetahuan saya dah berkali-kali tanya mana bayi saya dan berkali-kali juga minta bayi saya dikembalikan tapi masih tiada hasil.
“Buat masa ini, bapanya hanya memberi sayarat kalau mahu anak dikembalikan. Tapi itu anak saya dan saya melahirkan. Saya tak pernah ada persetujuan secara sah untuk menyerahkan anak-anak saya kepada sesiapa. Kenapa saya nak anak saya balik pun dikenakan syarat?.” luahnya.
Tambahnya, dia juga yakin anaknya kini sudah tidak berada di Kuala Lumpur dan telah dibawa pulang ke kampung. – KOSMO! ONLINE