KLANG – Taktik sindiket penyeludupan rokok menjadikan rumah teres kosong dan terbiar di taman perumahan sebagai stor berjaya dibongkar dalam tiga serbuan baru-baru ini.
Serbuan itu dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah (II) Selangor di sekitar Kajang, Hulu Langat dan Bandar Sri Damansara pada 22, 24 Oktober serta 8 November lalu dengan merampas sebanyak 728,972 batang rokok putih dan kretek yang bernilai RM608,803 termasuk cukai.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya berkaitan aktiviti penyeludupan kontraban tersebut.
Jelas beliau, serbuan pertama melibatkan sebuah rumah kedai di Hulu Langat dengan sitaan sebanyak 90,000 batang rokok.
“Kita kemudian turut menyerbu dua buah rumah tidak berpenghuni di Kajang dan Bandar Sri Damansara yang membawa penemuan lebih 638,000 rokok.
“Kesemua nilai rampasan dianggarkan RM124,129 dengan duti terlibat berjumlah RM484,674,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.
Tambah Norlela, siasatan mendapati kes itu melibatkan tiga sindiket berasingan dan usaha mengesan pihak berkenaan masih giat dijalankan.
Dalam pada itu, kata Norlela berkata, pihaknya turut merampas tembakau sedut bernilai RM8.4 juta dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat di sini, pada 5 November lalu.
“Kesemua bahan seberat kira-kira 3,000 kilogram (kg) itu ditemui dalam 100 beg plastik yang berada di bahagian belakang kontena berkenaan.
“Kontena itu mengikrar dagangan sebagai ‘pelbagai barang campur’ di dalam Borang Kastam 1 bagi tujuan mengelak dikesan JKDM,” katanya. – KOSMO! ONLINE