fbpx

[VIDEO] PU Azman ‘dipenjara’ kali keempat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PU Azman ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini lalu.

SHAH ALAM – Bekas pendakwah selebriti, PU Azman dijatuhi hukuman penjara lagi selama enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan amang seksual terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada tujuh tahun lalu.

Ini merupakan kali keempat selepas dijatuhi hukuman penjara di Mahkamah Klang dan Seremban sebelum ini.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhi hukuman itu selepas PU Azman dengan nama sebenarnya Azman Syah Alias, 43, menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pindaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Ini selepas representasi dihantar pihak pembelaan pada Oktober lalu telah diterima Jabatan Peguam Negara ketika prosiding perbicaraan telah berlangsung dengan pendakwaan telah mengemukakan enam saksi.

Rasyihah turut memerintahkan PU tersebut yang lebih dikenali Cik Man menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara.

Mahkamah memutuskan kesemua hukuman tersebut diambil kira (TIC) mengikut Seksyen 171 (A) Kanun Tatacara Jenayah terhadap satu lagi pertuduhan sama yang dihadapi Cik Man.

Mengikut pertuduhan, PU Azman telah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun ketika itu di sebuah inap desa di Jalan Kebun Klang antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi pada September 2017.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Berdasarkan fakta kes, PU Azman telah secara tiba-tiba masuk ke dalam bilik mangsa dan menyatakan mahu tidur bersama sebelum menyentuh remaja lelaki itu bagi tujuan amang seksual fizikal selepas diajak bermalam di inap desa itu.

Mangsa tidak menceritakan kepada kejadian itu kepada sesiapa kerana takut tidak akan dipercayai oleh sesiapa sebelum memaklumkan kepada seorang ustazah yang telah menghubungi mangsa pada tahun 2022.

Sebaik hukuman dijatuhi, Mahkamah membenarkan ahli keluarga Cik Man yang turut hadir pada prosiding hari  bertemu dengan bekas pendakwah berkenaan di dalam galeri mahkamah.

Terdahulu, Peguam Fahmi Adilah dalam mitigasinya memaklumkan pengakuan anak guamnya didorong faktor keinsafan dan kekesalan selain tertuduh memohon maaf kepada mahkamah serta pihak mangsa dalam kes ini.

“Tertuduh sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 27 September lalu. Saya difahamkan tertuduh ketika menjalani hukuman telah terlibat dalam program agama dan beri manfaat kepada banduan dan staf penjara.

“Ini menunjukkan tertuduh telah insaf dan kepentingan awam adalah terpeliharaa apabila dapat menukar individu kepada lebih baik. Justeru, mohon hukuman paling minimum dan bermula jatuh hukum hari ini,” jelasnya yang turut ditemani Peguam
Mohamad Zahid Ahmad.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi menegaskan, walaupun apa jua mitigasi diingatkan sebagai seorang pendakwah selebriti tidak wajar melakukan perkara tersebut  kepada mangsa.

“Pengakuan salah bukanlah automatik diskaun hukuman dengan tertuduh telah disabitkan di Mahkamah Klang dan Seremban.

“Mohon hukuman bentuk pengajaran kepada tertuduh dan juga boleh buka mata masyarakat secara amnya,” katanya.

Untuk rekod, PU Azman pada 27 September lalu telah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan atas dua pertuduhan kes amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada 2022.

Selain itu, Mahkamah Majistret Klang pada 6 Disember lalu telah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki pada tahun sama.

Pada 17 Disember pula, PU Azman dijatuhi penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan pindaan kes amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki di Nilai.

Sementara di Mahkamah Sesyen Ampang, satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dihadapi Azman, telah ditarik balik.

Dalam pada itu, Fahmi yang ditemui selepas di luar mahkamah menegaskan, kesemua hukuman penjara itu adalah berjalan serentak.

“Ini tiada tambah-tambah bagi setiap hukuman penjara yang dikenakan mahkamah. Ia disebabkan orang memahami sebegitu dan perlu dibetulkan kefahamannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI