TAIPING – Seorang peniaga pisang goreng sebak ketika mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan sebuah motosikal terbakar, Khamis lalu.
Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa telah melakukan perbuatan khianat dengan api sehingga menyebabkan kerosakan kepada harta iaitu sebuah motosikal jenis Honda RSX warna hitam bernilai RM7,000 milik Zainatul Syakira Amira Zaini, 22.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Masjid Pokok Assam di Taiping pada pukul 3.50 petang, 26 Disember 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.
Terdahulu, ketika diberi peluang untuk membuat rayuan di hadapan Nabisha, Zainatul Rafeda berkata, pertuduhan yang dikemukakan itu merupakan kesalahan pertamanya dan dia telah menyesal dengan perbuatan tersebut.
“Saya mengaku bersalah, saya menyesal Yang Arif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE