fbpx

Pengarah syarikat produk durian didakwa pecah amanah RM195,401

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
John Lee (dua dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat produk berasaskan durian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401 dua tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Datuk John Lee Siew Neng, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pengarah syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn. Bhd. yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan syarikat, telah mengeluarkan wang syarikat itu berjumlah RM195,401 di syarikat berkenaan di Taman Perindustrian Kip, Sentul di sini antara 24 Februari dan 25 Ogos 2022.

Justeru pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan atas kesalahan itu tidak boleh dijamin.

“Namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai,” kata Raihanah.

Mendengar perkara itu, peguam Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan perniagaannya kurang stabil.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Februari untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI