TAIPING – Seorang pembantu kedai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuan berusia 15 tahun, Februari lalu.
Tertuduh berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa di mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Blok Damai Jalan Abdul Raof, Parit Buntar pada pukul 1 pagi, 7 Februari 2024.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh turut didakwa bagi dua pertuduhan lain iaitu melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang payudara mangsa dan melakukan hubungan seksual memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa tanpa kerelaannya di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE