PEKAN – Seorang maut manakala tujuh cedera selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V di Kilometer 37 Jalan Kuantan-Segamat di sini malam semalam.
Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan kereta Myvi, Nur Ezyyantie Aliakbar, 30, yang merupakan seorang pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Temai, di sini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa bersama suami dan dua anaknya dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lagi kenderaan jenis Honda HR-V dinaiki empat sekeluarga dari arah Kuantan menghala ke Port Dickson, Negeri Sembilan telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Myvi berkenaan.
“Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa yang merupakan penumpang hadapan Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tujuh yang lain dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemandu Honda HR-V dan tiga ahli keluarganya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di zon kuning manakala pemandu Myvi yang merupakan suami mangsa dan dua anaknya sedang menerima rawatan di zon merah.
Difahamkan, salah seorang anak mangsa yang berusia 12 tahun sedang ditidurkan di zon merah. – KOSMO! ONLINE