PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar pampasan kepada penduduk di Taman Desa, Kuala Lumpur bersamaan RM941.53 untuk setiap kaki persegi, tetapi pampasan untuk tanah di Kampung Sungai Baru cuma sekitar RM450 sekaki persegi.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad ketika mempersoalkan perkara itu berkata, salah seorang pemilik di Taman Desa dilaporkan akan menerima pampasan RM950,000 untuk tanahnya seluas 1,009 kaki persegi.
“Harap maklum ini adalah untuk tanah di Taman Desa yang semestinya tidak setinggi nilainya berbanding tanah berhampiran KLCC seperti tanah Kampung Sungai Baru. Tanah di Kampung Sungai Baru dibayar pampasan hanya separuh dari itu iaitu dalam RM450 sekaki persegi.
“Dengan apa yang berlaku dalam kes Taman Desa ini, kerajaan sewajarnya memikirkan kembali nasib yang ditimpa sebahagian penduduk Kampung Sungai Baru yang sepatutnya mendapat pampasan yang lebih wajar berbanding dengan apa yang diterima mereka sekarang,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 14 pemilik rumah teres yang terjejas akibat isu pertikaian tanah sejak sekian lama di Jalan Bukit Desa di Taman Desa menerima pampasan berjumlah kira-kira RM6 juta.
Salah seorang pemilik, Datuk Edmund Lim dilaporkan menerima bayaran tertinggi, hampir satu juta pada November.
Khalid yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan berkata, kes Taman Desa adalah bukti jelas bahawa tuntutan pemilik tanah di Kampung Sungai Baru untuk pampasan sebanyak RM950 sekaki persegi adalah adil, wajar dan munasabah.
Menurut beliau, ia adalah berdasarkan pernilaian semasa bukan “harga masa depan”, malah permintaan pemilik sangat munasabah memandangkan ada penilai swasta meletakkan nilai tanah mereka antara RM1,500 hingga RM2,000 sekaki persegi.
Ujar beliau, sekiranya pampasan yang adil dan wajar diberikan, sudah pasti tidak akan ada lagi mana-mana pihak yang akan merungut dan mendakwa mereka dizalimi dalam soal pampasan tersebut.
“Ini akan menghalang pihak-pihak yang berkepentingan mengambil kesempatan untuk mengeruhkan hubungan kerajaan dengan rakyat sebagaimana kesempatan yang diambil dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Dalam kes ini akan ada yang mendakwa kerajaan memberi pampasan yang baik dan adil kepada bukan Melayu tetapi dengan orang Melayu, pampasan diberi adalah sangat rendah dan tidak adil,” katanya.
Tambah beliau, pihak pemaju juga seharusnya tidak keberatan untuk membayar kadar pampasan yang adil dan munasabah kerana berdasarkan laporan media, pembangunan Kampung Sungai Baru akan menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM 2.64 billion.
“Sudah pasti pemaju akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dan pembayaran pampasan yang adil oleh pemaju akan menaikkan imej mereka sebagai pemaju yang adil yang ingin menghayati dasar “shared prosperity” secara telus dan ikhlas, bukan pemaju yang zalim yang suka menindas pemilik.
“Bagi pihak penduduk Kampung Sungai Baru, saya sekali lagi merayu kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri agar pampasan yang adil diberikan kepada mereka dan kita menyelesaikan isu mereka dengan baik di bawah Kerajaan Madani ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE