fbpx

Nilai unik, privasi hotel Ombak Villa gamit pelancong asing, domestik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ombak Villa terletak berdekatan di lokasi strategik untuk memenuhi keperluan pelancong domestik dan juga dari luar negara.

MK Land Holdings Berhad (MK Land) selain terkenal sebagai sebuah syarikat pemaju pembangunan hartanah dan kediaman, ia juga terlibat dalam bidang perhotelan yang mana salah satu hotel popularnya yang menjadi pilihan pelancong antarabangsa adalah Ombak Villa Langkawi (Ombak Villa).

Hotel yang memiliki senibina Melayu kontemporari itu memiliki kelebihan kerana terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan juga Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri yang membolehkan ia menjadi pilihan hotel pilihan terbaik bagi peserta Pameran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) tahun sebelum ini malah untuk perancangan LIMA tahun 2025, semua unit hotelnya telah habis ditempah.

Ketua Percutian dan Pengurusan Hartanah MK Land, Mohd. Faizol Ali yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang perkhidmatan hospitaliti berkata, pengukuhan imej dan jenama Ombak Villa begitu ketara selepas tempoh pandemik. Pada masa sukar itu, syarikat juga berjaya melaksanakan satu pelan yang positif sehingga membolehkan prestasi kewangannya stabil dan semakin baik meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran baharu dalam industri pelancongan di Langkawi dan juga dalam sektor ini secara keseluruhannya.

“Kami tidak akan melabur banyak untuk menjadi lebih besar, apa yang penting adalah kami mahu terus kekalkan keberuntungan semasa kerana pasaran di Langkawi agak terhad.

“Selain berdepan isu peralihan kecenderungan rakyat Malaysia yang lebih suka melancong ke sempadan Thailand dan juga ke negara lain, kedudukan kami di sini masih bernilai tinggi kerana kami memiliki segmen pasaran dan keunikan kami tersendiri.

“Kami akan tambah lebih baik perkhidmatan sedia ada tetapi dalam masa akan terus berinisiatif mencatat keuntungan pada masa depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang perkembangan hotel Ombak Villa selepas pandemik?
Mohd. Faizol: Selepas pandemik, trend pengunjung berkunjung ke sini telah berubah daripada pasaran antarabangsa kepada pelancong domestik.

Kami mendapat sambutan yang baik daripada pelancong domestik kerana semasa tempoh pandemik yang mana pulau ini adalah yang pertama dibuka untuk sektor pelancongan dan Ombak Villa menjadi pilihan.

Dalam masa yang sama, semasa tempoh pandemik juga, kami tidak tutup operasi dan hotel ini begitu sibuk dengan pelbagai aktiviti untuk membantu mengekang wabak berbahaya itu yang mana hotel ini dijadikan lokasi penginapan, kami bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dan juga membekalkan makanan kepada polis dan juga barisan hadapan yang lain.

 

Boleh jelaskan tentang pelan pengukuhan pendapatan yang dilaksanakan semasa tenpoh pandemik lalu?
Kami juga melaksanakan satu dasar pengukuhan pendapatan yang melibatkan semua aspek termasuk menawarkan MSS kepada pekerja untuk mengurangkan kos, kami melaksanakan penstrukturan semula dengan menetapkan bilangan pekerja yang perlu ada pada kadar optimum untuk beroperasi dan menstruktur semula bilangan pembekal dan vendor sehingga mencatat kos perbelanjaan bulanan yang rendah. Sehingga kini, kejayaan pelan itu telah diteruskan sehingga kini.

Berapa banyak bilik hotel di Ombak Villa?
Di sini, bilik kami tak banyak iaitu hanya 78 unit dalam beberapa kategori bilik, jadi bila unit bilik tak banyak jadi penguasaan pasaran kami juga tidak besar, jadi keupayaan untuk mengekalkan keuntungan itu adalah tinggi.

Berapakah pecahan pelancongan asing dan domestik?
Musim percutian di Langkawi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu antara bulan Januari hingga Mei ia terdiri daripada 60 peratus pelancong antarabangsa dan 40 peratus pelancong domestik, kemudian dari bulan Jun hingga Oktober, perubahan trend pelancongan berubah yang mana 70 peratus adalah daripada pelancong domestik dan bakinya daripada pelancong luar negara. Manakala bagi tempoh November hingga hujung tahun, trend pelancongan itu berubah dengan kemasukan lebih ramai pelancong asing sehingga 80 peratus kerana musim sejuk dan juga sambutan krismas dan mereka lebih suka berada di luar dari negara masing-masing. Langkawi menjadi pilihan mereka.

Selain itu, dalam segmen pelancong antarabangsa, ia pula terdiri da­ripada pelancong Timur Tengah yang turut meliputi pelancong daripada pasaran Pakistan, Bangladesh dan India.

Mereka suka memilih Ombak Villa untuk bercuti kerana kami di sini menghidangkan makanan halal, unit bilik yang luas dan juga terdapat kemudahan yang dapat meme­nuhi keperluan mereka, kolam renang juga tidak padat dan le­bih utama mereka lebih sukakan privasi dan selamat yang mana mereka boleh membiarkan anak anak mereka bermain kerana terdapat padang dan taman yang terbentang luas untuk membiarkan mereka bebas bermain.

Tapi sekarang kami dapati terdapat juga perubahan trend terbaharu yang mana terdapat tempahan daripada pasaran dari Korea, Jepun dan China.

Apakah kekuatan dan keunikan Ombak Villa?
Kami memiliki seni bina hotel yang ke arah Melayu kontemporari dan juga tipikal Malaysia yang mana konsep itu dapat menonjolkan ciri-ciri tradisional Melayu kepada pelancong antarabangsa. Tetapi sekarang, kami merancang untuk melaksanakan pengubahsuaian hotel ini kepada lebih moden tetapi ciri-ciri Me­layu itu akan dikekalkan.

Boleh jelaskan tentang pelan pengubahsuaian hotel?
Fasa satu telah dijalankan dengan mengubahsuai restoran dan kami akan memulakan projek pengubahsuaian bilik kepada lebih moden di dalam hiasan dalamannya tetapi seni bina Melayu dari pandangan luar akan dikekalkan.

Ia akan dibuat secara berperingkat dan projek ini akan dimulakan selepas LIMA 2025 pada bulan Mei tahun depan.

Proses pengubahsuaian ini tidak akan menggangu operasi kerja kami kerana unit bilik di sini terdapat dalam blok blok jadi sekiranya satu blok ditutup maka pelancong boleh menginap di blok lain tanpa sebarang gangguan bunyi dan lain-lain.

Saya jangkakan proses pengubahsuaian ini siap dalam tempoh setahun. Kami juga akan mengubahsuai kolam renang dan fasiliti lain di sekitarnya termasuk di lobi, kami mahu membesarkan lagi saiz kolam renang dan menjadikan ia lebih menarik kerana ini adalah tempat tumpuan pelancong ketika bercuti.

Kami sasarkan Ombak Villa berwajah baharu sepenuhnya adalah menjelang LIMA tahun 2027.

Berpuas hati dengan pencapaian Ombak Villa sehingga kini?
Kami sangat teruja dengan pencapaian hotel ini kerana ia berkeupayaan untuk terus kukuh sejak pandemik dan sehingga kini.

Kami tidak perlukan dana sokongan daripada ibu pejabat atau tidak perlu membuat pinjaman, Ombak Villa kini semakin kukuh termasuk jenamanya.

Lebih menarik, ini adalah satu cabang perniagaan yang mudah untuk mencapai pematuhan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG). Sebenarnya, perniagaan pelancongan mudah untuk mencapai pematuhan tersebut dan antara yang terbaharu kami akan membeli sebuah mesin kitar semula sisa baki makanan untuk dijadikan baja dan juga akan membuat pemasangan panel solar.

Ini adalah antara inisiatif kami untuk mencapai pematuhan kelesta­rian dan mengikut perancangan kami mampu melaksanakannya dengan mudah mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Memandangkan projek pengubahsuaian akan dilaksanakan, jadi mudah kami masukkan unsur-unsur kelestarian tersebut di dalam hotel ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI