fbpx

Nelayan Myanmar ditahan tangkap ikan secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nelayan Myanmar yang ditahan APMM di Pulau Buloh, Lumut semalam.

LUMUT – Lima nelayan warga Myanmar ditahan bersama sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 20.3 kilometer (km) barat Pulau Buloh di sini sekitar pukul 1.45 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel terbabit dikesan oleh pasukan operasi KM Gagah ketika kapal maritim sedang melaksanakan rondaan di sekitar lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas VNT mendapati, vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat orang kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 21 hingga 41 tahun.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, VNT terbabit telah melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari 27.7km dan menggunakan nelayan asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua kru yang ditahan tidak menunjukkan rasa bersalah kerana melakukan kerja berkenaan tanpa mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah bersama-sama mereka.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui.

“Kesemua nelayan ditahan, manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI