TAVULLIA – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia tidak menolak kemungkinan bekas juara dunia, Fabio Quartararo akan menunjukkan kebangkitan dan kembali merebut gelaran pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.
Walaupun pencabar utama dijangka hadir daripada rakan sepasukan, Marc Marquez yang menyertai Ducati musim depan, namun Bagnaia enggan memandang rendah kemampuan pelumba lain, terutamanya Quartararo.
Dia berkata, sasarannya pada saingan musim hadapan adalah untuk meraih kejuaraan ketiga dengan merampas gelaran yang dimenangi Jorge Martin bersama Pramac Racing sebelum dia berhijrah ke Aprilia.
“Sasaran utama saya pada saingan musim hadapan adalah untuk memenangi gelaran dunia ketiga. Apa yang akan berlaku pada 2025? Saya fikir Ducati adalah pasukan yang akan menjadi sasaran untuk dikalahkan.
“Saya jangka persaingan lebih banyak antara saya dan Marquez, tetapi perlu berwaspada dengan pelumba-pelumba lain juga. Ada Martin dan Maro (Bezzecchi) dari Aprilia dan saya tidak menolak kemungkinan Quartararo juga mampu mencabar,” katanya.
Kali terakhir Bagnaia dan Quartararo bersaing merebut kejuaraan dunia adalah pada saingan 2022 di mana Bagnaia berjaya bangkit daripada ketinggalan 91 mata sebelum bergelar juara MotoGP buat kali pertama. – AGENSI