SABAK BERNAM – Kehilangan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) mental terjawab apabila mayatnya ditemui dalam semak di Kilometer 35-36 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, hari ini.
Mayat mangsa tempatan berusia 48 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring oleh anggota polis yang melakukan rondaan, kira-kira pukul 9.15 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Khalid Mohamad berkata, siasatan mendapati wanita itu dipercayai keluar bersendirian sebelum disedari suaminya, kira-kira pukul 5 pagi.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut menemukan dua beg mengandungi baju, selipar dan beberapa dokumen termasuk kad pengenalan milik mangsa di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan atau luka pada mangsa yang boleh dikaitkan dengan jenayah. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam bagi bedah siasat,” katanya malam ini.
Khalid menjelaskan, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE