PETALING JAYA – Lawatan-lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara sepanjang tahun ini melonjak pelaburan dan eskport negara serta menjulang Malaysia di persada dunia.
Anwar berkata, kunjungan pembesar-pembesar dunia ke Malaysia sepanjang tahun ini juga telah memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain.
“Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik yang dihormati dan menerima pengiktirafan daripada pemimpin negara kuasa besar atas peranannya dalam memperjuangkan isu-isu global.
“Terutama dalam mendukung keadilan buat rakyat Palestin serta memperjuang tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, menjelang 2025, Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab merintis kebangkitan ASEAN.
Kata beliau, Malaysia bersedia membawa rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan.
“Dengan sokongan padu masyarakat antarabangsa, kita melangkah ke tahun hadapan dengan penuh keyakinan untuk memacu kemakmuran bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE