PETALING JAYA – Kajian National Transportation Safety Board Amerika Syarikat mengatakan, penumpang yang duduk di bahagian belakang selepas sayap pesawat mempunyai kadar tertinggi untuk selamat iaitu 69 peratus.
Kajian itu juga menunjukkan tempat duduk di bahagian tengah pula mempunyai 56 peratus kadar untuk selamat manakala penumpang kelas pertama di bahagian hadapan mempunyai 49 peratus.
Selain itu, satu lagi kajian telah dilakukan sekumpulan penyelidik pada 2012 menggunakan pesawat Boeing 727 di Gurun Mexico.
Pesawat dilengkapi patung sebagai penumpang dan kamera ujian itu kononnya melakukan pendaratan cemas dan hasilnya, bahagian hadapan pesawat paling teruk terjejas, manakala 78 peratus penumpang yang lain selamat.
Pada tahun 2015, satu analisis dihasilkan oleh para penyelidik majalah Time menggunakan data 30 tahun yang dikumpul Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, dengan merujuk 17 kemalangan yang mempunyai kedua-da jumlah penumpang yang selamat dan meninggal dunia.
Kajian berkenaan mendapati tempat duduk satu pertiga paling belakang mempunyai kadar kematian paling rendah (32 peratus) berbanding bahagian tengah (39 peratus) dan bahagian hadapan (38 peratus).
Terdahulu, dunia dikejutkan dengan beberapa insiden kemalangan pesawat yang berlaku secara berturut-turut.
Antaranya ialah, nahas melibatkan penerbangan Azerbaijan Airlines yang mengorbankan 38 nyawa, ketika pesawat yang membawa 67 penumpang termasuk lima anak kapal itu terhempas di bandar Aktau, Kazakhstan pada 25 Disember.
Selang berapa hari kemudian, dunia sekali lagi dikejutkan dengan nahas melibatkan pesawat Jeju Air 2216 yang mengalami masalah pada gear pendaratan menyebabkan seramai 179 nyawa terkorban. – KOSMO! ONLINE