KOTA BHARU – Seorang buruh maut selepas dipercayai mengalami kecederaan parah pada seluruh anggota badan semasa berada di dalam tahanan di Penjara Pengkalan Chepa di sini kira-kira tiga minggu lalu.
Mangsa yang berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini kira-kira pukul 2.27 pagi pada 12 Disember lalu.
Kakak mangsa, Zealeha Mohamed Nor, 45, berkata, dia menerima panggilan daripada pegawai penjara kira-kira pukul 4.30 petang pada 11 Disember yang memaklumkan adik lelakinya tidak sedarkan diri.
Menurutnya, dia dimaklumkan bahawa adiknya dibawa ke HRPZ II untuk rawatan sebelum ditidurkan semasa berada di wad kecemasan hospital berkenaan.
“Saya datang ke hospital kira-kira pukul 7 petang. Saya dapati kepala adik pecah, mata kirinya lebam, luka pada bibir, patah gigi depan selain lebam pada kedua-dua tangannya.
“Kesan kecederaan pada lengannya disyaki seperti di rotan selain urat keting di buku lali kiri dan kanannya terbelah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Zealeha memberitahu, adiknya yang merupakan suspek kes dadah dan mencuri barangan motosikal sepatutnya dituduh di mahkamah pada 17 Disember lalu.
Menurutnya, dia melihat kecederaan pada tubuh badan adiknya itu ketika urusan memandikan jenazah.
“Saya tidak puas hati dengan kecuaian pihak penjara sehingga dia meninggal dunia.
“Arwah adik sebelum ini dicekup di rumah ibu kami di Pasir Puteh kira-kira pukul 6 pagi pada 15 November lalu kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Dia ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh sebelum dibawa ke Penjara Pengkalan Chepa selepas tempoh reman tamat,” ujarnya.
Zealeha berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya dalam keadaan separuh sedar dengan dipapah dua rakannya semasa melawat arwah kira-kira pukul 1.30 petang pada 7 Disember lalu di Penjara Pengkalan Chepa. – KOSMO! ONLINE