KUALA LUMPUR – Pemeriksaan secara mengejut dilaksanakan di seluruh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) hari ini bagi memastikan kenderaan menepati piawaian yang ditetapkan.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, seramai 350 anggotanya dikerahkan dalam Op Mengejut Puspakom yang berlangsung pukul 9.30 pagi ini.
Katanya, operasi terbabit akan diteruskan tanpa pengetahuan Puspakom seperti yang diarahkan Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke yang mahu JPJ melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.
“Fasa pertama adalah sekatan jalan raya yang telah dilakukan JPJ di lebuh raya terpilih manakala fasa kedua merupakan pemeriksaan secara mengejut di Puspakom seperti kami lakukan hari ini.
“Fasa ketiga, kita akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk serbu syarikat pengeluar dan fasa keempat pula serbuan di kedai aksesori,”
katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi itu di Puspakom Wangsa Maju di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman, Ketua Setiausaha MOT Dato’ Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam.
“Daripada 115 lori, sebanyak 29 dikenakan tindakan penguatkuasaan manakala sebanyak 69 notis telah dikeluarkan.
“Kami juga telah menyita lima kereta dan dua lori, menjadikan jumlah keseluruhan tujuh kenderaan dirampas dalam hanya dua jam 30 minit operasi,” ujarnya.
Dalam operasi hari ini, pihaknya mengesan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori yang menggunakan tayar celup tidak selamat dan berada dalam keadaan uzur yang borpotensi meletup pada bila-bila masa.
“Ketua Setiausaha MOT telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Selain itu, beliau mendedahkan penyelia dan kakitangan Puspakom Wangsa Maju dipanggil ke Ibu Pejabat JPJ pukul 10 pagi esok bagi soal siasat berhubung penemuan sebuah kenderaan yang berada dalam keadaan tidak selamat.
“Saya sudah maklumkan kepada Ketua Pegawai Puspakom minta hantar mereka yang meluluskan kenderaan itu untuk kami lakukan temu siasat.
“Satu kertas siasatan akan dibuka dan kemas kini akan diberikan apabila maklumat lanjut diterima,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.