PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyediakan khidmat pengurusan jenazah secara percuma bagi golongan tidak berkemampuan di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, khidmat pengurusan jenazah secara percuma itu termasuk untuk golongan asnaf.
Menurut beliau, perkhidmatan pengurusan jenazah percuma tersebut juga diberikan untuk jenazah yang tidak dituntut atau tidak berwaris dan saudara baharu.
“Jawi adalah sebuah Jabatan yang sejak awal penubuhannya sentiasa menjadi peneraju kepada pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan termasuk dalam pengurusan jenazah.
“Antara sumbangan Jawi adalah menguruskan tuntutan Fardhu Kifayah tanpa mengira latar belakang dan umur bagi jenazah yang berwaris atau tidak berwaris, tidak dituntut, mualaf dan lain-lain,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mohd. Na’im berkata, khidmat Jawi kepada warga Wilayah Persekutuan itu patut diketengahkan sebagai satu agensi kerajaan yang sentiasa berkhidmat untuk ummah dan masyarakat. – KOSMO! ONLINE