KUALA LUMPUR – Seorang aktivis didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong tiga tahun lalu.
Hakim Datuk M.M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampui keraguan munasabah terhadap tertuduh Iswardy Morni, 47, pada akhir kes pembelaannya.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan bagi mendengar hujahan mitigasi kedua-dua belah pihak sebelum hukuman dijatuhkan.
Mengikut pertuduhan, Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (ketika itu) di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pukul 3 petang pada 29 Mei 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.
Pada Oktober lalu, mahkamah sama memerintahkan Iswardy membela diri atas pertuduhan pertuduhaan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Sebanyak sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 3 Januari 2022.
Pada 1 Jun 2021, tertuduh mengaku tidak bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan mohon dibicarakan. – KOSMO! ONLINE