PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menjalankan inisiatif menyediakan solusi menggunakan teknologi dengan kos yang lebih rendah berbanding pembinaan tembok bagi menangani jenayah rentas sempadan di sempadan Malaysia-Thailand.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, agensi terbaru KDN iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) pula bakal memulakan operasi rentas mereka di Rantau Panjang, Kelantan dan meningkatkan lagi kekuatan KDN melindungi sempadan Malaysia.
“‘Lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand adalah satu cabaran besar dalam menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“Namun, kekuatan sebenar bermula dengan mereka yang menjaga sempadan kita. Di Padang Besar, kami telah menyiapkan projek perumahan untuk anggota keselamatan, lengkap dengan kemudahan seperti masjid, dewan serbaguna dan taman permainan.
“Ini bukan hanya pelaburan dalam keselamatan negara, tetapi juga dalam kebajikan mereka yang bertugas menjaga kita semua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, keutamaan beliau adalah memastikan setiap langkah yang diambil termasuk teknologi hingga kerjasama antarabangsa mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat.
Terdahulu, beliau berkata, keselamatan sempadan negara menjadi keutamaannya sejak dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan pelbagai inisiatif serta tambah baik telah dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Ujar beliau, pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR bagi bas dan motosikal di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor berjaya mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura.
“Selain itu, penggunaan autogate di KLIA Terminal 1, Terminal 2 dan BSI juga telah membantu melancarkan proses kemasukan ke Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE