KUALA LUMPUR- Geng Awey dan Geng Alep yang aktif dalam kegiatan mencuri kenderaan tumpas selepas pihak polis menahan tujuh individu menerusi Op Lejang di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, operasi pertama berjaya menahan lima suspek dari Geng Awey berusia antara 31 hingga 43 tahun dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, 6 Disember lalu.
Katanya, hasil soal siasat mendapati geng itu telah bergiat aktif sejak 2016 dan terlibat dalam 21 kes curi kenderaan dengan kerugian RM139,600.
“Suspek mengaku terlibat dalam 19 kes di IPD Wangsa Maju, satu di IPD Sentul dan satu lagi di IPD Cheras.
“Kami berjaya merampas sembilan telefon bimbit, sembilan rangka motosikal, dan dua motosikal, selain menemui barang kes yang dibuang ke dalam sungai dengan bantuan bomba,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Lazim berkata operasi kedua berjaya menahan dua lelaki berusia 17 dan 20 tahun yang dikenali sebagai Geng Alep, 17 Disember lalu.
Katanya, kedua- dua mereka ditahan di tepi jalan AU 5D/7, Lembah Keramat, di sini.
“Kumpulan ini aktif mencuri motosikal di sekitar Wangsa Maju, Sentul, dan Cheras. Polis merampas sebuah motosikal Yamaha 135 LC bersama spanar dan alat pemutar skru,” katanya.
Tambah beliau, modus operandi kesemua susoek adalah mencuri motosikal yang berkunci, merosakkan pemegangnya, dan menunda motosikal ke bengkel haram untuk dileraikan dan dijual komponennya.
“Komponen-komponen tersebut dijual melalui media sosial dengan harga antara RM300 hingga RM700,” katanya.
Kata beliau, pihaknya berjaya menyelesaikan 20 kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini dengan nilai kerugian RM128,000.
Tambah Mohamad Lazim, kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE.