BESUT – Remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran yang menghilangkan diri dari rumah datuk selepas merajuk dengan adiknya Jumaat lalu ditemui di rumah bapanya di Bukit Keluang, di sini hari ini.
Nurul Dania Balqis Stimat, 16, yang tinggal bersama datuknya setelah ibu bapanya berpisah beberapa tahun lalu dikatakan pulang ke rumah bapa pada awal pagi semalam selepas lebih 48 jam menghilangkan diri.
Ibu Dania, Noor Hayuni Mohd. Noor, 42, berkata, kepulangan anak ketiganya itu dimaklumkan salah seorang sepupu bekas suaminya pada pukul 8 pagi tadi.
“Saya kemudiannya menghubungi adik lelaki saya untuk menjemput Dania sebelum membawanya ke Balai Polis Jertih di sini untuk memaklumkan penemuannya.
“Dania akan dibawa pulang ke rumah datuknya di Kampung Pengkalan Sentuh, Seberang Jertih selepas semua urusan selesai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Noor Hayuni yang menetap di Kuala Lumpur berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus membantu mencari Dania.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang ibu tidak keruan selepas anak perempuannya yang merupakan OKU masalah pembelajaran hilang setelah keluar dari rumah datuknya di Kampung Pengkalan Sentul, Seberang Jertih pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE