PETALING JAYA – Memberi restu andai anaknya Kasih Iris Leona meneruskan hajat berkahwin tahun depan, pelakon Azhar Sulaiman bagaimanapun meletakkan beberapa syarat kepada bakal menantunya.
“Happy New Year Mekna (Leona). Kalau awak behi (ingin) sangat nak nikah tahun depan, tak apa.
“Tolong pastikan bakal suami awak tak kisah asap rokok terutama dalam kereta, bukan vegetarian dan okey dengan muzik bergenre Rave,” katanya dalam Instagram.
Aktor juga arkitek itu turut memaklumkan bakal suami pempengaruh terbabit perlu mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada kembar Leona, Andika Rees Pahamin dan kakaknya, Kasih Leia Ixora.
Begitupun, Azhar, 53, memberi bayangan mungkin agak sukar untuk memenangi hati mereka bertiga berbanding isterinya, Chempaka Emalin Pahamin.
“Mesti diterima oleh The High Council iaitu Kasih & Rees juga.
“Dengan Mommy mungkin senang lulus ujian tapi dengan kami bertiga, lain,” ujarnya.
Sebelum ini, Leona, 22, pernah menyuarakan hasrat ingin mendirikan rumah tangga pada 2025 biarpun belum mempunyai kekasih. – KOSMO! ONLINE