REMBAU – Seorang bayi lelaki berusia 19 hari disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban selepas tujuh jam bertarung nyawa selepas terbabit nahas di kilometer 3.8, Jalan Kampung Batu-Inas, dekat Bukit Miku, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, dalam kemalangan kira-kira pukul 7.50 pagi itu, bayi berkenaan, Muhammad Adryan Qhalish Muhammad Adzril yang merupakan penumpang hadapan kenderaan mengalami pendarahan di bahagian otak dan meninggal dunia pada pukul 3.43 petang.
Katanya, kakak bayi berkenaan, Putri Eshal Muhammad Adzril, berusia sembilan bulan yang merupakan penumpang tempat duduk belakang kini masih dalam keadaan koma susulan pendarahan di bahagian otak dan dirawat di hospital sama.
“Berdasarkan siasatan, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 39 tahun dalam perjalanan dari arah Inas ke Sekolah Kebangsaan Kampung Batu bagi menghantar tiga lagi anak perempuannya yang lain berusia 11 tahun dan pasangan kembar berusia 10 tahun menaiki kenderaan pelbagai jenis (MPV) Perodua Alza.
“Ketika sampai di tempat kejadian iaitu di kawasan selekoh dan cerun, pemandu telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan.
“Akibat dari kemalangan tersebut, wanita terbabit mengalami kecederaan pada bahagian bahu dan lima anaknya turut mengalami kecederaan serta dikejarkan ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ujar Azmi lagi, tiga kanak-kanak yang lain pula mengalami kecederaan lebam di kepala dan sudah pun mendapatkan rawatan di Hospital Rembau.-KOSMO! ONLINE