PETALING JAYA – Seramai 874 mangsa banjir terdiri daripada 261 keluarga direkodkan pada petang ini, menurun berbanding pagi tadi yang mencatatkan seramai 1,579 mangsa.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan pada petang ini, manakala Johor mula merekodkan mangsa banjir dengan 13 orang daripada empat keluarga.
Di Kelantan, seramai 623 mangsa banjir daripada 194 keluarga masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di Tanah Merah dan Kuala Krai.
Sementara itu, di Terengganu, jumlah mangsa menurun kepada 238 orang daripada 63 keluarga yang kini berada di lima PPS di Besut.
“Sebanyak 16 PPS beroperasi setakat petang ini,” menurut maklumat tersebut. – KOSMO! ONLINE