BANGKOK – Tiga orang maut, manakala tujuh lagi cedera dalam kebakaran sebuah hotel enam tingkat di Khao San, Bangkok pada kira-kira pukul 9.40 malam (waktu tempatan) semalam, lapor akhbar The Nation.
Menurut pegawai, kebakaran bermula di tingkat lima hotel itu, di mana 39 kakitangan dan pelancong menginap.
Anggota bomba dikerahkan segera ke tempat kejadian dan berjaya mengawal api dalam masa sejam.
Daripada jumlah 75 tetamu hotel itu, seorang wanita ditemui mati di dalam bilik di tingkat lima. Dua lagi meninggal dunia di hospital.
Tujuh mangsa yang cedera ialah dua lelaki warga Thailand, seorang lelaki Jepun, seorang wanita warga asing yang tidak dinyatakan kerakyatan, seorang lelaki Jerman, seorang wanita Jerman dan seorang lelaki dari China.
Seorang pekerja bar, Pattarapol Kopornsrisanga berkata, dia menyedari terdapat asap ketika bekerja di tingkat enam dan memberitahu tetamu supaya segera berpindah.
Pengunjung berlari keluar dari hotel untuk mendapatkan bantuan dengan ada yang rebah ke tanah.
Sementara itu, Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, hotel itu ditutup buat sementara waktu sementara menunggu pemeriksaan keselamatan.
“Kita harus meningkatkan keyakinan pelancong terhadap keselamatan mereka, terutamanya ketika sambutan tahun baharu semakin hampir,” tegasnya.
Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Sayam Boonsom berkata, polis sedang menyiasat punca kebakaran dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat. – AGENSI