GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menggunakan dua helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menghantar sebanyak 20 tan bekalan makanan kepada keluarga Orang Asli di lima buah pos pedalaman di sini yang terjejas jalan hubungan akibat musim tengkujuh.
Bekalan makanan seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum dan barangan makanan lain itu dihantar kepada 1,097 ketua isi keluarga (KIR) Orang Asli di Pos Simpor, Pos Gob, Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim.
Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, operasi itu menggunakan dua helikopter milik Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah.
Katanya, operasi penghantaran bakul makanan di lima buah pos itu bermula hari ini dan dijangka berakhir pada 4 Januari depan.
“Penghantaran bakul makanan itu membabitkan kepada 230 kir Orang Asli di Pos Simpor, Pos Gob (177 KIR), Pos Balar (223 KIR), Pos Bihai (304 KIR) dan Pos Belatim (163 KIR).
“Dua helikopter yang terlibat ialah Agusta Westland 189 (AW 189) dan AW 139. Hanya AW189 yang terlibat dalam operasi penghantar bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman hari ini,” katanya selepas meninjau operasi penghantaran bakul makanan di Padang Kompleks Perdana di sini hari ini.
Roslina memberitahu, keperluan bekalan makanan itu dapat digunakan oleh keluarga Orang Asli dalam tempoh dua minggu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, operasi penghantar bakul makanan itu dapat meringankan beban masyarakat itu yang terkesan akibat jalan rosak ketika musim tengkujuh sejak sebulan lalu. – KOSMO! ONLINE