PETALING JAYA – Seramai 100 orang usahawan cilik yang terdiri daripada murid-murid di 20 buah sekolah menyertai Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 3, Selangor hari ini.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, karnival terbabit merupakan komitmen PTPTN dalam menyahut seruan kerajaan berteraskan konsep Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Selari dengan objektif penubuhan Kelab Simpanan Pendidikan, karnival ini diharap dapat mempromosikan Simpan SSPN sebagai satu wadah penabungan melalui aktiviti keusahawanan.
“Saya menyeru dan berharap agar sekolah-sekolah di negara ini dapat merebut peluang untuk berdaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan dan dapat menikmati pelbagai kelebihan yang disediakan,” katanya pada majlis penutup karnival berkenaan hari ini.
Beliau berkata, antara kelebihan kelab berkenaan ialah dapat menjadi Sahabat PTPTN, menikmati Insentif Kelab Simpanan Pendidikan berjumlah RM1,000.00 secara one-off, tajaan sudut info sebanyak RM250 dan berpeluang menyertai Pertandingan Menabung Peringkat Sekolah dan Peringkat Nasional anjuran PTPTN.
“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.
“PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara,” ujarnya.
Terdahulu, PTPTN juga berbesar hati menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM153,300 melalui Program Tabung Impian Kasih Simpan SSPN, khusus kepada ahli Kelab Simpanan Pendidikan di seluruh negara.
Melalui program itu, PTPTN memberikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada murid yang masih aktif sebagai ahli Kelab Simpanan Pendidikan pada tahun 2024.
Sumbangan itu melibatkan 1,533 orang murid dengan setiap murid akan menerima RM100 dalam
bentuk akaun Simpan SSPN Prime. – KOSMO! ONLINE