PETALING JAYA – Tindakan pemandu yang tidak berpuas hati apabila dikenakan lampu tinggi ‘high beam’ oleh pemandu lain berpotensi membawa risiko kemalangan.
Menerusi rakaman papan pemuka (dashcam) yang dimuat naik di media sosial, seorang pemandu kereta BMW dilihat menekan brek berulang kali sebagai tindak balas terhadap kenderaan di belakang yang menggunakan lampu tinggi.
Rakaman tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen yang mengecam tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan membahayakan pengguna jalan raya.
“Pernah kena, ada BMW potong kiri dan brek depan saya banyak kali. Saya tak layan, akhirnya dia pergi. Mungkin salah sendiri juga, tak sedar dia ikut lama. Bersangka baik, sampai destinasi selamat,” kata seorang pengguna.
Rata-rata netizen mendakwa memberi lampu tinggi tanpa sebab yang munasabah adalah perlakuan tidak wajar, terutamanya apabila membawa penumpang seperti anak dan isteri yang turut terdedah kepada bahaya.
“Bila bawa anak dan isteri, fikirkan keselamatan orang lain. Jangan ikut ego, kita perlu bertimbang rasa,” ujar Azrinn Muhd.
“High beam nak pergi ke mana? Dalam buku undang-undang, ada sebut tak yang untuk memotong perlu guna lampu tinggi? Bersabarlah di jalan raya,” kata Din Din. -KOSMO! ONLINE