KUALA LUMPUR – Sebuah lori yang membawa muatan batu-batuan tanpa pemandu mengundur lalu merempuh tiang serta pagar bangunan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Bangsar di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.20 petang.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati seorang pemandu lelaki berusia 64 tahun dikatakan meletakkan lori itu sebentar dalam keadaan enjin masih hidup di hadapan pondok pengawal Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bangsar untuk bertanyakan tempat pembuangan batu.
“Tiba-tiba, lori itu mengundur sendiri lalu melanggar tiang dan pagar syarikat Air Selangor.
“Kejadian dipercayai berpunca pemandu tidak menarik brek tangan lori itu dengan sempurna dan keadaan jalan yang berbukit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, pelanggaran itu mengakibatkan tiang penahan pagar syarikat Air Selangor kemik.
“Kejadian berkenaan tidak membabitkan kenderaan lainmanakala pemandunya tiada mengalami sebarang kecederaan.
“Kes itu diklasifikasikan mengikut Rule 14(1)(a) LN 166/59,” jelasnya.
Justeru, beliau menasihati semua pemandu supaya memeriksa dengan teliti kenderaan masing-masing sebelum meninggalkan kenderaan supaya kemalangan sedemikian tidak berlaku.
“Orang ramai yang ada sebarang pertanyaan atau maklumat, boleh menghubungi Hotline Balai Polis Trafik melalui talian 03-2026 0267/69 dan Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE