PETALING JAYA – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh secara serentak di setiap negeri kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Laporan itu berkait dengan pendedahan yang tular di media sosial berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 menolak saman fitnah Hannah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Naib Ketua Srikandi Bersatu, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kes tersebut mempunyai implikasi besar kerana buku Becoming Hannah didakwa mengganggu keharmonian di negara inu.
Jelasnya, sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan serta keharmonian, pihaknya merasa terancam dengan tindakan menteri itu yang berpotensi menjejaskan masa depan umat Islam.
“Sehubungan itu, Srikandi Bersatu menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tindakan dan agenda Hannah.
“Kami juga mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera mengharamkan buku “Becoming Hannah”,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Srikandi Bersatu juga nenggesa Perdana Menteri untuk segera memecat Hannah Yeoh daripada Kabinet atas tindakan yang melanggar prinsip tata kelola Kerajaan Madani.
“Srikandi Bersatu tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha yang mengancam keharmonian dan kestabilan negara.
“Sekiranya gesaan kami ini tidak mendapat maklum balas, kami akan melakukan tindakan selanjutnya demi mempertahankan kesucian Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan masa depan belia Islam di negara ini,”tegasnya.-KOSMO! ONLINE