BENTONG – Polis menafikan pihaknya enggan menerima laporan daripada seorang penghantar barang yang mendakwa diserang seorang wanita sehingga mengalami kecederaan pada bahagia mata.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan polis hari yang sama pada 24 Disember lalu dan siasatan masih lagi giat dilakukan.
Tegasnya sedang meneliti dakwaan pihak polis tidak menerima laporan dan jika tidak benar pihaknya akan mengambil tindakan serta membuat laporan polis.
“Saya rasa itu satu laporan palsu yang menyebarkan dan mendatangkan kebencian kepada pihak berkuasa, jadi saya akan semak balik daripada mana sumber yang menyatakan bahawa Pondok Polis Janda Baik, Balai Polis Bukit Tinggi dan Balai Polis Bentong ini tak nak terima laporan mangsa ini.
“Saya nak tahu, kalau betul (polis tidak menerima laporan) saya akan ambil tindakan peringkat dalaman melibatkan siapa yang terlibat tetapi kalau benda itu tak betul, satu bentuk tohmahan saya akan minta pegawai kita buat laporan polis sebab itu memfitnah,”katanya di sini hari ini.
Sejak semalam tular dalam media sosial yang mendakwa seorang penghantar barang telah diserang di bahagian mata ketika membuat penghantaran barang di Janda Baik di sini baru-baru ini.
Laporan tersebut juga mendakwa mangsa cuba membuat laporan polis di Pondok Polis Janda Baik, Balai Polis Bukit Tinggi dan Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong tetapi ketiga-tiga tempat tersebut enggan menerima aduan mangsa.
Dakwanya lagi hanya selepas sepasukan polis dari Kuantan datang baru kesemua balai berkenaan kelam kabut.- KOSMO! ONLINE